Enam Tahanan Melarikan Diri.

Kota Kinabalu: Tiga daripada enam tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal, di sini, yang dipercayai melarikan diri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, pagi tadi, berjaya ditahan semula.

Tiga tahanan terbabit berjaya ditahan semula di dalam kawasan pagar oleh pegawai Jabatan Imigresen yang sedang membuat kawalan.

Menurut sumber, semua tahanan berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu melarikan diri dengan memanjat tembok blok depoh berkenaan.

Katanya, mereka kemudiannya melarikan diri ke arah belakang berhampiran sebuah perkampungan di kawasan berkenaan.

“Tiga daripada mereka berjaya ditahan di kawasan depoh manakala selebihnya masih diburu pihak berkuasa.

“Usaha memburu baki tahanan sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, operasi memburu semua suspek yang terbabit sedang dijalankan.

“Setakat ini belum ada laporan dibuat dan kita minta mereka membuat laporan polis segera,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan penghuni Depo Tahanan Imigresen Manggatal, di sini, dilaporkan merusuh selepas tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan balik untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, keadaan berkenaan berjaya dikawal selepas pasukan Unit Tempur Ringan (LSF), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dikerah dilokasi kejadian.

Tamat