PDRM Sabah Tumpaskan Kumpulan Abu Sayyaf.

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah berjaya menembak mati lima anggota militan Abu Sayyaf (ASG) di kawasan rumah setinggan berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, kumpulan terbabit ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika pihak berkuasa cuba melakukan pemeriksaan terhadap beberapa rumah di kawasan berkenaan.

Seorang lelaki dikatakan secara tiba-tiba membuka pintu sebelum terus melepaskan tembakan ke arah pasukan polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pada masa sama, beberapa lagi suspek lain yang bersenjatakan pistol dan parang turut keluar dan melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan.

Katanya, dalam usaha mempertahankan diri dan menghentikan ancaman, pasukan polis terpaksa membalas tembakan terhadap ancaman.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, dua daripada suspek yang ditembak mati memegang senjata pistol manakala tiga lagi bersenjatakan parang.

“Hasil operasi gabungan PDRM dan Esscom ini dipercayai berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Negeri Sabah yang mempunyai kaitan atau baiah dengan kumpulan Daish atau IS,” katanya pada sidang  media di IPK Sabah, hari ini.

Hazani berkata, pihaknya mengesyaki masih ada lagi saki baki atau tali barut kepada kumpulan Abu Sayyaf ataupun pejuang Daish yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah.

“PDRM percaya dengan kejayaan ini, kita berjaya menghapuskan sel Abu Sayyaf di negeri ini dan PDRM Sabah akan terus meningkatkan risikan di seluruh negeri bagi mengesan saki baki ataupun sel-sel dari negara jiran yang bersembunyi di sini,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata, identiti semua suspek yang ditembak mati masih belum dapat dikenalpasti dan semua dianggarkan berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

Katanya, semua suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai warga asing.

“Polis turut merampas dua pucuk pistol, dua megazine peluru, 20 peluru hidup .45, dua kelongsong peluru dan tiga bilah parang,” katanya.

Hazani berkata, berdasarkan kepada maklum balas pihak berkuasa Filipina, empat suspek yang ditembak mati disahkan sebagai ahli kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG)

“Dua yang ditembak mati ini juga disahkan pernah terbabit dalam insiden pengeboman lori tentera pasukan keselamatan Filipina,” katanya.

Sehubungan itu, Hazani mengingatkan kepada pasukan keselamatan negara ini termasuk  PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya sentiasa berhati-hati kerana kemungkinan besar berlaku tindak balas ekoran kejayaan IPK Sabah kali ini.

Tamat