KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu ketika mengemukakan tuntutan.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu didakwa membuat tuntutan berkenaan daripada sebuah agensi kerajaan.
Menurut sumber, lelaki terbabit adalah pengurus sebuah syarikat dalam pelaksanaan Projek Community Drumming.
Katanya, suspek ditahan ketika hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 11 pagi, tadi, bagi membantu siasatan lanjut.
“Lelaki terbabit dipercayai mengemukakan surat akuan dan pengesahan palsu yang dikemukakan bersama dalam tuntutan yang bernilai kira-kira RM170,000 empat tahun lalu.
“Tuntutan itu dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kudat,” katanya.
Menurutnya, tuntutan berkenaan dibuat untuk Projek Community Drumming di bawah Majlis Harga Barang Negara bagi kawasan Matunggong dan Sikuati, Kudat, pada tahun 2018.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kesalahan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, 25 Mei depan.
Tamat







