Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir kian mencatatkan kenaikan berikutan belum ada sebarang tanda-tanda situasi banjir Sabah akan kembali pulih dalam masa terdekat.
Setakat jam 8 pagi hari ini, seramai 4,832 orang mangsa membabitkan 1,326 keluarga sudah ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi daerah Tenom dan Beaufort.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah ketika dihubungi berkata, peningkatan seramai 40 mangsa berkenaan direkodkan sejak jam 8 malam tadi.
Katanya, daerah Tenom masih mencatatkan sebarang paling ramai mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS ketika ini berbanding daerah Beaufort.
“Bagi Daerah Tenom, kita merekodkan seramai 4,221 mangsa kini masih ditempatkan di 35 PPS yang dibuka di seluruh daerah berkenaan.
“Daerah Beaufort pula mencatatkan seramai 611 penduduk yang dipindahkan ke PPS membabitkan sebanyak 157 keluarga,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, situasi banji masih sukar diramalkan ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.
Bagaimanapun katanya, orang ramai terutamanya di kawasan tanah rendah atau berhampiran sungai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca.
“Selain itu, masyarakat juga disarankan sentiasa memantau anak masing-masing supaya tidak bermain banjir bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Tamat





