Pematuhan Masyarakat Penampang Terhadap PKP Amat Tinggi.


PENAMPANG: Kadar pematuhan masyarakat Penampang terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berada pada tahap yang amat baik.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, tinjauan beberapa kawasan perniagaan di daerah ini juga didapati turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, ia termasuk menutup premis perniagaan mereka pada jam 7 malam mengikut kepada ketetapan pihak berkuasa.

“Hari ini, team pematuhan IPD Penampang menjalankan rondaan di semua kawasan di daerah Penampang untuk memantau tahap pematuhan premis-premis perniagaan.

“Pemantauan ini akan diteruskan setiap hari sepanjang tempoh PKP 3.0 ini. Secara keseluruhannya bagi daerah penampang tahap pematuhan adalah baik, tidak ada pelanggaran yang ketara dapat dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di beberapa premis di Plaza 333, malam tadi.

Mohd Haris berkata, sejak pelaksanaan PKP 3.0 ini, pihaknya sudah mengeluarkan sebanyak sembilan kompaun atas pelbagai kesalahan.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah seperti tidak memakai pelitup muka, melakukan aktiviti riadah iaitu berbasikal dan melakukan aktiviti joging di luar kawasan kejiranan yang tidak dibenarkan.

“Setakat ini, peratusan pematuhan SOP untuk daerah penampang adalah sebanyak 95 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai supaya terus berdisplin bagi mengekalkan pematuhan PKP ditahap yang baik dalam usaha melandaikan penularan Covid-19.

Tamat