Kanak-Kanak Lemas Ditemui.

Kota Kinabalu: Kanak-kanak lelaki yang hilang selepas mandi di sungai bersama lima rakannya, semalam, berjaya ditemui di bawah jambatan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Tuaran, di sini, pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Almunel Unim, 11, terbabit ditemui pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas kira-kira jam 6.25 pagi tadi.

Difahamkan, kanak-kanak warga asing itu dikatakan mandi bersama lima rakannya dii bawah jambatan Sungai Inanam kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, sebaik mangsa didakwa lemas dan gagal diselamatkan, rakan-rakan mangsa kemudian pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarga mangsa.

Ketua BBP Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima maklumat jam 9.06 malam tadi, selepas ibu kanak-kanak terbabit datang ke balai untuk meminta pertolongan mencari anaknya.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat membabitkan 12 anggota dan seorang pegawai serta dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Kinabalu.

“Mangsa gagal ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11.45 malam tadi sebelum disambung semula pada jam 6 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, sebaik operasi disambung semula, mangsa berjaya ditemui sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Tamat