Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas rokok yang dipercayai diseludup masuk ke daerah ini dalam satu operasi Op Benteng Covid di kawasan bakau di sini, hari ini.
Semua rokok pelbagai jenama berkenaan didapati disembunyikan di kawasan bakau untuk mengaburi mata pihak berkuasa sebelum diedarkan di pasaran tempatan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi, PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, bertindak atas maklumat awam, satu operasi dijalankan pada jam 6.30 pagi hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah pondok kecil tidak berpenghuni dalam keadaan yang mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan ribuan rokok pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam beg plastik berwarna hitam.
“Semua rokok berkenaan disyaki diseludup masuk dari negara jiran dan dianggarkan bernilai RM121,938.96 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Gan berkata, semua barang rampasan berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kastam Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, Gan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah amat mengalu-alukan masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat menyalahi undang-undang kepada PPM untuk tindakan segera.
Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp di talian 013-2831197 atau berhubung terus ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu di talian 013-9808084.
Tamat







