Bayi Lelaki Pramatang Ditemui.

Lahad Datu: Seorang bayi yang dipercayai baru beberapa jam dilahirkan ditemui ditinggalkan di bawah sebuah rumah di Kampung Dasar Baru, di sini, semalam.

Bayi lelaki terbabit ditemui kira-kira jam 7.30 malam oleh pemilik rumah selepas terdengar bunyi tangisan dan anjing yang menyalak ke arah bawah rumah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, wanita berusia 27 tahun itu mendakwa menemui bayi berkenaan dalam keadaan masih mempunyai uri tertiarap di atas tanah berlumpur.

Katanya, wanita itu bersama ahli keluarganya terus membawa bayi terbabit ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor yang merawat bayi berkenaan menganggarkan usia bayi itu sekitar 3 atau 4 jam sebelum ditemui.

“Pasukan paramedik juga percaya bayi seberat satu kilogram itu dilahirkan dalam keadaan pramatang iaitu berada dalam kandungan sekitar tujuh bulan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan berkata, setakat ini, bayi terbabit berada dalam keadaan tidak stabil dan ditempatkan di wad unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan serta pemantauan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah atau membuang kanak-kanak terbabit.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Rohan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menyeru masyarakat yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Aspalainah Mohd Zain di talian 0111-9019728 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Tamat