Rokok Seludup Bernilai RM173,320 Dirampas.

Beluran: Taktik seorang penyeludup membawa 2,390 bungkusan rokok menggunakan jalan tikus gagal apabila cubaannya itu berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Kampung Manduring, Sapi Nangoh, di sini, semalam.

Lelaki berusia 39 tahun itu yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux ditahan anggota Batalion 20 Beluran yang sedang menjalankan rondaan kira-kira jam 9.30 pagi.

Komander Briged PGA Sabah Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pasukan Batalion 20 PGA Sabah yang mengesan suspek terus menahannya untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan di bahagian penumpang belakang kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok tanpa cukai.

“Jumlah rokok yang dirampas sebanyak 2,390 bungkus dianggarkan bernilai RM173,320.68

“Lelaki terbabit terus ditahan selepas dipercayai menyimpan dan menjual rokok tidak mendapat kelulusan Kastam dan tiada cukai,” katanya dalam sidang media di Dewan Latihan Briged Sabah, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua rampasan dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan dan kejayaan ini hasil risikan dan maklumat orang awam kepada Batalion 20 diketuai oleh Pegawai Memerintah, Acp Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa.

“Sehubungan itu, polis menyeru masyarakat supaya terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Tamat