Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 1,350 bungkus rokok tanpa cukai yang ditinggalkan di dalam sebuah kenderaan di tepi jalan di Jalan Perapat Limau – Limauan, di sini, semalam.
Semua rokok berkenaan ditemui anggota PPM yang sedang menjalankan operasi ‘Op Benteng Covid-19’ di kawasan berkenaan, kira-kira jam 9 malam.
Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, ketika menjalankan operasi itu, pihaknya melakukan pemeriksaam selepas mendapati kenderaan berkenaan ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemerhatian dan pemantauan dilakukan untuk seketika namun tiada individu yang datang mengambil kenderaan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu, kita menemui sejumlah 1,350 bungkus rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai.
“Semua rokok dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM40,250 terus disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, Cyril menyarankan masyarakat supaya membantu menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah untuk tindakan segera.
Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ke talian 0132831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan untuk tindakan segera.
Tamat






