Lelaki OKU Diselamatkan.

Penampang: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) hampir lemas selepas hanyut dalam arus banjir dalam kejadian di Kampung Kudau, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa Chong Chee Sen berusia 61 tahun terbabit berjaya diselamatkan orang awam yang menyedari kejadian berkenaan.

Mangsa dikatakan hanyut ketika keluar daripada rumahnya dan hanya dapat diselamatkan selepas hampir tiga jam kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai kemudiannya di kerah ke lokasi kejadian bersama sebuah bot.

“Pasukan Bomba menerima panggilan terdapat seorang mangsa warga emas OKU dilaporkan hanyut dibawa arus banjir.

“Pasukan Bomba terus bergerak ke lokasi dan memulakan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat akhirnya menerima laporan mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam pada jam 7.57 malam.

Katanya, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 8.50 selepas mangsa disahkan berada dalam selamat.

Tamat