
Kota Kinabalu: Penduduk yang tinggal di kawasan cerun bukit dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan persekitaran bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Md Ali Ismail berkata, keadaan persekitaran itu perlu diambil perhatian terutamanya ketika cuaca hujan lebat.
“Keadaan cuaca buruk mempunyai kemungkinan tinggi untuk berlakunya tanah runtuh dan banjir.
“Penduduk yang tinggal di kawasan berkecerunan tinggi perlu sentiasa peka dengan keadaan persekitaran erutama ketika cuaca buruk bagi mengelakkan menjadi mangsa banjir,” katanya ketika diminta mengulas berhubung kejadian tanah runtuh yang berlaku di beberapa lokasi semalam sehingga meragut tiga nyawa dan merosakkan harta benda.
Md Ali berkata, masyarakat juga perlu memastikan tiada sebarang rekahan tanah dan aliran air dari celah tanah atau aliran sungai dari bawah tanah.
Katanya, penduduk juga perlu melihat keadaan struktur rumah atau bangunan dan kebiasaannya petanda awal adalah berlaku kesan seperti pintu tidak dapat dibuka atau rekahan dinding dan lantai.
“Ia juga boleh dikenalpasti sebagai petanda dengan kejadian pokok tumbang di kawasan curam.
“Ini antara petanda kemungkinan akan berlaku pergerakan tanah yang mungkin boleh berlakunya tanah runtuh,” katanya.
Sehubungan itu, Md Ali berkata, sekiranya orang awam menyedari wujudnya tanda-tanda berkenaan, maka mereka perlu memaklumkan segera kepada pihak berkuasa tempatan dan berpindah ke tempat yang selamat.
Katanya, sekiranya rekahan semakin besar ia bermaksud akan ada pergerakan tanah pada bila-bila masa.
“Kita perlu membuat persediaan awal, maklumkan kepada pihak berkuasa dan pindah ke tempat selamat,” tegasnya.
Tamat






