Ranau: Lima lelaki ditahan bersama senjata api buatan sendiri dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dengan dibantu Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah.
Semua lelaki berusia 29 hingga 57 tahun itu ditahan bersama 20 laras senjata api jenis bakakuk, ginsuk, senapang angin dan senapang guli serta puluhan peluru hidup.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, suspek pertama seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditahan, 10 September lalu, di sebuah rumah di Kampung Kigiuk, di sini.
Katanya, hasil penahanannya, polis menemui dua laras senjata api bersama 11 butir peluru hidup, 30 butir palet senapang angin dan peralatan membuat senjata api.
“Ekoran daripada penahanan suspek, polis meneruskan operasi dengan menyerbu beberapa lagi lokasi sekitar daerah ini dan berjaya menahan empat lagi suspek.
“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tujuh laras bakakuk dan 11 laras senapang bersama peluru hidup dan palet senapang angin,” katanya pada sidang media di IPD Ranau, hari ini.
Simiun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Simiun berkata, polis memandang serius isu pemilikan senjata api dan operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan berkenaan pemilikan dan penggunaan senjata api buatan sendiri,” katanya.
Tamat







