Lelaki maut selepas terperangkap dalam rumah terbakar.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia selepas kediamannya di Kampung Nyaris-Nyaris, Bongawan, di sini, terbakar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Abdul Rahman Abu, 38, ditemui terperangkap di bilik air rumahnya sebelum disahkan meninggal dunia.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 pagi.

Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan BBP Beaufort terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba api masih marak dan operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Pasukan Bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 61 meter dengan dua pancutan menerusi tangki jentera bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa yang temui di bahagian bilik mandi dan pasukan bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa.

Katanya, mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Api berjaya dikawal pada jam 3.48 pagi dan operasi pemadaman diteruskan sehingga tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya

Menurutnya, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bahagian forensik JBPM.

Tamat