BICBEEM 2026 relevan dalam konteks pembangunan Sabah

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Penganjuran Persidangan Antarabangsa Borneo bagi Perniagaan, Pendidikan, Ekonomi dan Pengurusan (BICBEEM) 2026 buat julung kalinya dilihat relevan dalam konteks pembangunan negeri Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata persidangan itu merupakan platform penting dalam memperkukuh ekosistem ilmu serta jaringan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat.
“Saya berharap persidangan ini dapat membuka ruang kepada pertukaran idea dan pandangan, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara peserta, penyelidik, pengamal industri dan institusi yang terlibat,” katanya dalam teks ucapan pada majlis perasmian BICBEEM 2026 di Raia Hotel di sini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata penyelidikan perlu mempunyai hubungan lebih rapat dengan keperluan sebenar masyarakat, industri dan pembangunan negeri.
Katanya, Sabah mempunyai pelbagai isu dan peluang yang boleh diterokai sebagai bidang penyelidikan bersama, termasuk pembangunan ekonomi luar bandar, transformasi digital, keusahawanan belia, pertanian pintar, pelancongan komuniti, kelestarian alam sekitar, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peningkatan daya saing ekonomi tempatan.
“Saya berharap para penyelidik yang hadir dapat melihat Sabah dan Borneo sebagai makmal hidup (living laboratory) bagi menghasilkan penyelidikan yang mempunyai nilai akademik serta impak praktikal.
“Kita mahu melihat lebih banyak penyelidikan bersama, pertukaran ilmu dan kepakaran, penglibatan industri, pembangunan inovasi, program keusahawanan serta inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama strategik antara Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), North Borneo University College (NBUC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) dalam penganjuran BICBEEM 2026.
“Ini merupakan satu contoh bagaimana jaringan antara kerajaan dan institusi dapat diperkukuh bagi memperluas perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman.
“Lebih penting, jaringan yang terbentuk melalui BICBEEM perlu dimanfaatkan bagi menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan kerajaan, industri dan komuniti,” katanya.
Hajiji berkata Sabah mempunyai potensi besar berdasarkan kekayaan sumber semula jadi, kedudukan strategik, kepelbagaian masyarakat serta bakat generasi muda yang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.
“Namun, potensi sahaja tidak mencukupi. Kita perlu memastikan segala kekuatan yang ada dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi, peningkatan kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang mampan,” katanya.

Ceasar (tengah) diiringi Naib Canselor North Borneo University College (NBUC), Prof Dato’ Sr. Dr. Azimuddin Bahari (dua kiri), menyempurnakan gimik perasmian BICBEEM 2026 di Raia Hotel Kota Kinabalu, Rabu.