Program SMJ Fellows mesti beri impak, bukan sekadar hasilkan graduan – Hajiji

By Wu Vuide

KOTA KINABALU: Program Sabah Maju Jaya (SMJ) Fellows perlu melahirkan pemimpin, bukan sekadar graduan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Hajiji berkata pemilihan sebagai Fellow merupakan satu amanah dalam membentuk masa depan negeri.
“Anda dipilih kerana Kerajaan Negeri melihat potensi anda untuk berada di barisan hadapan dalam proses membuat keputusan,” katanya pada majlis penyampaian surat pelantikan SMJ Fellows 5.0 di Menara Kinabalu, di sini.
Beliau berkata kumpulan baharu itu perlu menganggap penyertaan dalam program berkenaan sebagai satu tanggungjawab, bukan sekadar peluang untuk menimba pengalaman.
Program yang kini memasuki tahun kelima itu menempatkan anak muda Sabah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memberi pendedahan kepada aspek pengurusan, pentadbiran dan sektor korporat.
Hajiji berkata GLC tidak seharusnya lagi melihat pembangunan modal insan sekadar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Ia mesti menjadi sebahagian daripada komitmen teras mereka.
“Sabah mempunyai anak muda yang bijak, kreatif dan bercita-cita tinggi. Sebahagian daripada mereka hanya memerlukan peluang dan bimbingan seorang mentor,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri mahu kejayaan SMJ Fellows 5.0 dinilai berdasarkan impak yang dihasilkan dan bukan sekadar jumlah peserta.
“Kita mahu mereka yang menyertai program ini keluar dengan kematangan yang lebih tinggi, keyakinan yang lebih kukuh, rangkaian hubungan yang lebih luas serta keupayaan sebenar untuk menyumbang kepada negeri,” katanya.

Hajiji bergambar secara wefie bersama peserta SMJ Fellows 5.0 pada majlis penyampaian surat pelantikan di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu