KOTA KINABALU: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar inisiatif pembangunan belia, sebaliknya menjadi tapak semaian bagi melahirkan kepimpinan masa depan Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata program itu turut berperanan membentuk generasi yang mampu memimpin, menggerakkan ekonomi serta menentukan hala tuju pembangunan negeri.
Katanya, pemilihan seseorang sebagai Felo SMJ bukan sekadar peluang menyertai program, sebaliknya satu kepercayaan, amanah dan pelaburan terhadap masa depan Sabah.
“Peserta dipilih kerana kerajaan negeri melihat potensi dan bakat mereka untuk berada di barisan hadapan dalam membuat keputusan, memimpin organisasi, menggerakkan ekonomi dan menentukan hala tuju negeri.
“Saya mahu melihat para Felo SMJ bukan sekadar menganggapnya sebagai peluang menambah pengalaman, tetapi sebagai satu tanggungjawab untuk mempersiapkan diri menjadi sebahagian daripada generasi yang akan membawa Sabah ke hadapan,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Felo SMJ 5.0 di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, di sini.
Hajiji berkata menerusi Felo SMJ 5.0, beliau mahu program itu terus berkembang bukan sahaja dari segi jumlah penyertaan dan aktiviti, malah lebih penting berdasarkan impaknya terhadap masa depan anak Sabah.
“Kita mahu mereka yang menyertai program ini keluar dengan pemikiran lebih matang, keyakinan lebih tinggi, jaringan lebih luas dan kemampuan sebenar untuk menyumbang kepada negeri,” katanya.
Beliau turut menghargai komitmen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang selama ini bersama-sama menjayakan Program Felo SMJ dengan menyediakan peluang kepada anak muda Sabah mendapat pendedahan kepada dunia sebenar pengurusan, pentadbiran dan korporat.
Bagi Felo SMJ 5.0, Hajiji mahu pembangunan modal insan anak Sabah menjadi sebahagian daripada komitmen utama GLC di negeri ini dan bukan sekadar dilihat sebagai program atau tanggungjawab sosial korporat.
“Pembangunan bakat anak Sabah mesti menjadi sebahagian daripada agenda kita dalam membangunkan negeri ini.
“Sabah mempunyai ramai anak muda yang pintar, kreatif, berani dan bercita-cita besar. Namun, ada antara mereka mungkin hanya memerlukan satu peluang atau seorang mentor untuk menyerlah.
“Kita tidak mahu membina bakat hanya untuk kemudian melihat mereka terpaksa pergi jauh kerana tidak menemukan ruang untuk menyerlah di negeri sendiri. Kita mahu anak Sabah mempunyai pilihan untuk membina masa depan di sini,” katanya.
Beliau berkata menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), Sabah memerlukan modal insan berdaya saing bagi memacu fasa transformasi negeri ke arah ekonomi masa depan yang mampan dan berteknologi tinggi.
Katanya, ciri modal insan yang diperlukan termasuk tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri moden, celik teknologi dan digital, mempunyai nilai integriti tinggi serta berupaya menghasilkan idea kreatif dan inovatif.
“Sebab itu bagi saya, Felo SMJ bukan sekadar program pembangunan belia. Ia adalah tapak semaian kepimpinan masa depan Sabah,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri bukan hanya mahu melahirkan pemimpin yang cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, tetapi lebih penting pemimpin yang berjiwa rakyat, memahami denyut nadi komuniti, mampu membawa suara rakyat ke meja dasar serta mengutamakan kepentingan negeri melebihi kepentingan diri.
Beliau turut menyeru Felo SMJ 5.0 memanfaatkan peluang berkenaan sebagai medan membina disiplin, empati, wawasan dan keberanian, selain menjadikan integriti sebagai teras dalam diri.

WATIKAH … Hajiji menyampaikan watikah pelantikan kepada Felo SMJ 5.0 pada Majlis Penyampaian Watikah Felo SMJ 5.0 di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.








