KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah digesa menolak cadangan pembayaran interim hak 40 peratus hasil bersih negeri secara berperingkat selama lima tahun kerana dikhuatiri menyebabkan tuntutan hak berperlembagaan itu terus tertangguh.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata, pembayaran interim RM1.5 bilion yang dipersetujui sebelum ini sepatutnya hanya terpakai bagi 2026 sementara kerajaan Persekutuan dan Sabah memuktamadkan mekanisme pembayaran penuh hak berkenaan.
Beliau berkata, cadangan meningkatkan pembayaran interim secara berperingkat setiap tahun untuk tempoh lima tahun, seperti dilaporkan media, menimbulkan kebimbangan ia akhirnya menggantikan hak sebenar Sabah.
“Jika aturan itu sudah diputuskan, menerimanya bermakna kita membenarkan bayaran interim mengambil tempat hak 40 peratus Sabah untuk tempoh lima tahun,” katanya dalam kenyataan.
Jeffrey berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini mendapati tiada semakan sewajarnya dilaksanakan sejak 1974, selain menegaskan pembayaran interim, walaupun diwartakan, tidak boleh dianggap sebagai Geran Khas 40 peratus seperti diperuntukkan Perlembagaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri menolak sebarang pembayaran interim seterusnya serta memastikan hak 40 peratus itu diselesaikan berdasarkan peruntukan perlembagaan dan keputusan mahkamah.
Beliau turut meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud memastikan rundingan berhubung tuntutan berkenaan dimuktamadkan secepat mungkin.
Malah, Jeffrey mencadangkan kerajaan Persekutuan menyelesaikan sepenuhnya tuntutan 40 peratus itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurutnya, langkah itu juga berpotensi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan Persekutuan dalam menangani tuntutan Sabah yang berlarutan lebih lima dekad.
“Kerajaan Sabah pula perlu bertegas mempertahankan hak negeri dan menamatkan kesusahan yang terpaksa ditanggung rakyat terlalu lama,” katanya.

Dr Jeffrey G Kitingan.






