Pencerobohan gajah di Telupid cetus kebimbangan keselamatan penduduk

Oleh JAMES LEONG


TELUPID: Peningkatan kejadian pencerobohan gajah pygmy Borneo ke kawasan kediaman dan kemudahan awam di Telupid menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah.
Walaupun video kelibat gajah berkeliaran berhampiran Klinik Kesihatan Telupid, sekolah dan beberapa kemudahan awam tular baru-baru ini, masalah berkenaan sebenarnya sudah berlarutan lebih sedekad dan semakin kerap berlaku sejak awal tahun ini.
Penyelaras Projek Keharmonian Manusia-Gajah Forever Sabah, Alvein Dee Albenus berkata, peningkatan kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi Hutan Simpan Tawai, sekali gus melalui kawasan sumber makanan dan laluan pergerakan tradisi gajah.
Katanya, aktiviti pembukaan hutan semakin rancak sejak tahun lalu, manakala kerja pembinaan hingga waktu malam berkemungkinan mengganggu habitat dan pergerakan haiwan berkenaan sehingga mendorongnya memasuki kawasan penempatan.
Beliau turut memberi amaran bahawa pembinaan lebuh raya itu boleh meningkatkan risiko kemalangan membabitkan gajah dan pengguna jalan raya sekiranya laluan lintasan hidupan liar yang bersesuaian tidak disediakan.
Menurutnya, kejadian yang pada awalnya dilaporkan di Kampung Liningkung, Kampung Gambaron dan Kampung Bauto kini turut melibatkan kawasan berhampiran SMK Telupid, balai polis, klinik kesihatan serta pejabat kerajaan.
Penduduk turut melaporkan kerosakan harta benda dan tanaman, selain bimbang terhadap keselamatan anak-anak ketika pergi dan pulang dari sekolah.
Alvein menasihatkan penduduk supaya mengelakkan tanaman yang menarik perhatian gajah seperti pisang, kelapa, pinang dan cempedak berhampiran kediaman.
Beliau berkata, kekurangan sumber makanan di hutan simpan serta peluasan kawasan pertanian turut dipercayai menyumbang kepada konflik manusia-gajah.
Projek berkenaan menganggarkan lebih 200 ekor gajah mendiami kawasan Hutan Simpan Tawai, namun jumlah sebenar masih belum diketahui.
Katanya, pasukan lapangan seramai lima anggota dengan sokongan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan renjer komuniti hampir setiap hari berusaha menghalau gajah kembali ke hutan.
Bagaimanapun, tugas itu mencabar apabila kumpulan gajah berpecah dan memasuki beberapa lokasi secara serentak.
Beliau menegaskan bahawa isu berkenaan bukan sekadar melibatkan perlindungan hidupan liar, tetapi turut membabitkan keselamatan penduduk serta keperluan menyediakan koridor pergerakan gajah yang selamat.
Gajah pygmy Borneo dikategorikan sebagai spesies terancam (Endangered) dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), dengan anggaran hanya 1,000 ekor masih hidup di habitat liar, termasuk kira-kira 400 ekor gajah dewasa yang mampu membiak.

Sekumpulan gajah pygmy Borneo memasuki kawasan Klinik Kesihatan Telupid.- (Kredit foto: Media sosial)