Lelaki ditahan bersama syabu bernilai RM6,000

Oleh FARDY BUNGGA

PENAMPANG: Operasi Gempur Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan bersama 52.09 gram syabu dalam serbuan di sebuah hotel di Putatan, kira-kira 10.30 malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata pemeriksaan terhadap suspek menemukan sembilan paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat 52.09 gram.
Katanya, dadah yang dianggarkan bernilai RM6,000 itu dirampas bersama beberapa barangan dan wang tunai bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.
“Semakan lanjut turut mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Sammy berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
“Pihak polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Suspek ditahan bersama 52.09 gram syabu dalam serbuan di sebuah hotel di Putatan, Selasa malam.