PELANCARAN YAYASAN KEBAJIKAN SABAH

Kota Kinabalu: Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dilancarkan bagi membantu kerajaan negeri dalam menggerakkan agenda kebajikan.

Badan ini akan berfungsi sebagaj institusi memperkasa kerjasama antara kerajaan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), badan korporat dan swasta.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata,  yayasan ini bersedia untuk membantu mencari dana sebelum sumbangan kebajikan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas.

Katanya, berhadapan pandemik Covid-19 ketika ini memberikan panduan kepada kerajaan negeri mengenai keperluan mewujudkan sistem sokongan bagi memastikan mekanisme penyampaian bantuan kebajikan yang lebih pantas dan menyeluruh.

“Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang memberikan pelbagai jenis sumbangan sebagai tambahan kepada bantuan yang diberikan oleh Kerajaan.

“Ini termasuklah sumbangan sektor swasta, badan korporat, NGO dan orang persendirian yang memberi sokongan padu terhadap usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Setahun Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bersama Rakyat yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Pada majlis sama, YKS turut menerima sumbangan dana sebanyak RM12.1 juta daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat untuk membantu pelaksanaan inisiatif dan program yang dirancang.

Hajiji berkata, institusi ini akan diurus tadbir secara profesional oleh petugas sosial terlatih bagi memastikan penyaluran bantuan dibuat secara telus dan sampai kepada golongan sasar.

Katanya, penubuhan Yayasan Kebajikan Sabah ini juga berpandukan kepada model dan kejayaan fungsi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di peringkat nasional.

Sementara itu, Hajiji berkata, selain berusaha menangani penularan Covid-19, pihak kerajaan juga berusaha sehabis baik menggerakkan agenda kebajikan rakyat.

Katanya, kerajaan sudah menyediakan peruntukan untuk menyalurkan pelbagai jenis bantuan bagi memastikan rakyat mempunyai bekalan makanan dan berupaya meneruskan kehidupan.

“Sebagai langkah segera, Kerajaan GRS sudah melancarkan Pakej Bantuan Sabah Prihatin (BSP) yang mensasarkan bantuan tunai ‘one-off’ yang disalurkan secara langsung kepada rakyat yang terjejas pendapatan,” katanya.

Tamat