Renjatan elektrik.

Sandakan: Seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di simpang masuk pekan Batu 8, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 30-an itu ditemui orang awam kira-kira jam 6.30 sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan segera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam longkang sebekum diserahkan kepada pasukan perubatan Hospital Duchess of Kent (HDOK).

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa dikenalpasti sebagai Mohd Nasir Hassan dan bukan seorang warganegara Malaysia.

“Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.18 pagi,” katanya.

Tamat