Tuaran: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 1.12 metrik tan gula pasir kasar dalam serbuan di sebuah premis di Ranau, hari ini.
Tindakan berkenaan diambil selepas pemilik premis jualan berkenaan gagal mengemukakan surat kebenaran dari badan Pengawal Bekalan Malaysia.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saripudin Moleng berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam yang diterima.
Katanya, hasil risikan yang dijalankan selama dua hari, pasukan penguatkuasa mengesyaki terdapat salah laku pemilikan barangan berkenaan.
“Pemeriksaan kemudiannya dijalankan di premis berkenaan dan pemilik premis gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran dari Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan menjual barag kawalan kepada orang awam atau pengguna.
“Keterangan awal pemilik premis sudah direkodkan untuk tindakan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Saripudin berkata, nilai anggaran keseluruhan sitaan ini adalah RM3,192 berdasarkan harga pasaran semasa.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
“Semua pihak turut diberi amaran dan peringatan tegas supaya tidak mengambil kesempatan semasa keadaan pandemik ketika ini.
“Peniaga tidak dibenarkan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan tidak menyorok barang kawalan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.
Sehubungan itu, Saripudin berkata, pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk tampil menyalurkan maklumat menggunakan saluran aduan rasmi KPDNHEP berhubung sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan.
Tamat





