Kota Kinabalu: Seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Superintendan dan pemandu wanita maut selepas kenderaan dinaiki terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Lintas, Metrotown, hari ini.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa, Azrini @ Azrin Abu Bakar, 42, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dan rakannya, Dylevia Dewalter, 38, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth Elizebeth II (HQEII).
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, hasil siasatan awal, kedua-dua mangsa yang menaiki Nissan Almera dipercayai bergerak dari arah Citymall menuju ke Jalan Tuaran Bypass.
Bagaimanapun katanya, kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan dan terus terbabas sendiri sebelum merempuh pokok di tengah pembahagi jalan berkenaan.
“Kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan ditemui di dalam parit pembahagi jalan berkenaan.
“Mereka kemudiannya dibawa ke Bahagian Kecemasan HQEII untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
George berkata, siasatan lanjut mendapati punca kemalangan mungkin disebabkan kecuaian pemandu sendiri yang dipercayai memandu secara melulu.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tamat





