Perlawanan antara penyokong Manchester United dan Liverpool.

Telupid: Pertembungan penyokong tegar dua kelab terkemuka dunia Manchester United dan Liverpool memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara, baru-baru ini.

Perlawanan yang bertujuan menyemarakkan lagi bahang Liga Perdana Inggeris khususnya di Daerah Telupid itu diadakan di Padang Majlis Daerah Pekan Telupid.

Pengurus pasukan peminat Manchester United Telupid, Josue Joseph berkata, pertembungan itu amat menarik dan menghiburkan.

Katanya, walapun tewas namun beliau amat berpuas hati dengan prestasi pasukan dalam perlawanan yang cukup sengit.

“Kami berjaya mencipta banyak peluang dalam perlawanan ini namun dihukum dengan kegagalan menyempurnakan peluang yang ada.

“Apapun, yang penting pembudayaan sukan khususnya bolasepak kepada penduduk daerah ini tanpa mengira usia dapat diterapkan,” katanya.

Menurutnya, penganjuran sukan ini juga akan dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan peminat kedua-dua pasukan ini.

Turut beraksi pada perlawanan berkenaan ialah bekas pemain Piala Presiden Sabah Ricky John dan Rogelis Janis selain dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Presiden SAFA Daerah Telupid, Jamain Bakut.

Sementara itu, pengurus pasukan peminat Liverpool Telupid, Judas Nickholas melahirkan perasaan gembira dengan kemenangan tipis 4-3.

“Saya akui pasukan lawan memang banyak peluang namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol pasukan kamj.

“Dia mampu beraksi dengan baik dan menafikan setiap peluang pasukan lawan untuk menjaringkan gol,” katanya.

Menurutnya, perlawanan persahabatan antara kedua pasukan ini akan diadakan semula pada 24 Oktober depan.

Katanya, ia sebagai pembuka tirai kepada perlawanan sebenar antara Manchester United menentang Liverpool di Liga Perdana Inggeris di England pada malam hari berkenaan.

Tamat