Semporna: Dua nelayan warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti bom ikan ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di perairan Pulau Kalapuan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, operasi rondaan Op Benteng Covid itu dijalankan selepas PGA menerima maklumat awam.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, hasil rondaan, pihaknya terserempak dengan sebuah bot pam yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan kemudiannya mendapati bot berkenaan tong berisi ikan dalam keadaan perut ikan pecah dan isi ikan yang lembik.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi tidak menemui sebarang pukat atau peralatan menangkap ikan di dalam bot berkenaan.
“Semua suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan berusia 17 dan 27 tahun dan semua peralatan yang dirampas dianggarkan bernilai RM8,650 termasuk bot serta hasil laut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Tamat






