
Kota Kinabalu: Sebuah kereta Perodua Aruz yang dipandu lelaki berusia 30 tahun terbabas sebelum musnah terbakar sepenuhnya dalam kejadian di Jalan Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, mangsa yang berdepan detik cemas bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan didapati terbakar sepenuhnya dengan keadaan api juga masih marak.
“Pasukan Bomba terus bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran menggunakan sumber air daripada tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 6.26 pagi.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 6.41 pagi.
Tamat








