Kota Kinabalu: Keterujaan 33 pengunjung dan tiga pengusaha pusat hiburan terbantut apabila dikenakan kompaun selepas dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kompaun berkenaan dikeluarkan dalam operasi Op Pematuhan Pusat Hiburan yang dijalankan bermula jam 10.30 malam di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi dijalankan membabitkan 36 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Katanya, pihaknya menyerbu tujuh pusat hiburan di kawasan sekitar Jalan Lintas dan Cyber Perdana.
“Seramai pekerja 40 orang 164 pengunjung pusat hiburam diperiksa dalam operasi yang dijalankan semalam.
“Hasil operasi ini, seramai 36 individu dikenakan kompaun termasuk tiga pengusaha mengikut Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021 kerana melanggar SOP Fasa 3, PPN.
“Secara keseluruhannya, rata-rata premis pusat hiburan dan pelanggan yang hadir mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, bagaimanapun pihaknya masih terkesan beberapa premis yang beroperasi melebihi masa yang dibenarkan.
“Selain itu, pelanggan juga didapati masih melanggar SOP seperti tidak membuat pendaftaran Mysejahtera dan tiada penjarakan fizikal.
“Oleh itu, polis akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa,” katanya.
tamat








