Tujuh daripada 14 tahanan yang melarikan diri masih diburu.

Papar: Tujuh daripada 14 tahanan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Papar, di sini, awal pagi, hari ini, masih diburu.

Operasi memburu semua suspek yang masih bebas dilancarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit anjing pengesan K9 dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, semua tahanan terbabit dilaporkan melarikan diri pada jam 3.30 pagi dengan merosakkan siling tandas pusat tahanan berkenaan sebelum memotong jeriji pagar pusat tahanan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, daripada 14 tahanan yang melarikan diri, tujuh tahanan berjaya ditahan semula setakat jam 10.30 pagi tadi.

“Semua tahanan yang melarikan diri berusia 22 hingga 43 tahun dan tujuh suspek yang berjaya ditahan semula ditemui di sekitar kawasan DPI berkenaan.

“Sehubungan itu, kita memohon orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat untuk menangkap baki suspek yang melarikan diri,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Batholomew berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 akta sama kerana lari dari tahanan serta tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya berhubung bilik gerakan IPD Papar di talian 088-916064 atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera.

Tamat