10 rumah terbakar.

Tawau: Penghuni di 10 rumah di Kampung Jati, di Batu 5, Jalan Apas, di sini, hilang tempat tinggal selepas rumah mereka dilaporkan musnah selepas terbakar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagaimanapun berjaya mengawal api daripada terus merebak ke beberapa lagi rumah berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.21 pagi.

Katanya, sepasukan 16 anggota dan pegawai bersama jentera dikejar ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari BBP Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati membabitkan 10 rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal berikutan kedudukan jarak rumah yang terlalu rapat.

“Operasi memadamkan kebakaran segera dijalankan dengan mendapatkan sumber air terbuka dari sungai berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Julius berkata, api berjaya dikawal pada jam 6.50 pagi dan hasil pemeriksaan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.

“Operasi memadamkan kebakaran masih giat dijalankan dan maklumat terkini keadaan operasi akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Tamat