Peningkatan kes dadah dan rampasan.

Kota Kinabalu: Usaha berterusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam menangani jenayah dadah terbukti dengan peningkatan kes dan rampasan.

Sepanjang Januari hingga November tahun ini, kes pengedaran dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 meningkat sebanyak 18 tangkapan berbanding tempoh sama tahun lalu yang hanya mencatatkan 37 tangkapan.

Peningkatan turut ketara membabitkan rampasan dadah iaitu 26.3 kilogram sepanjang tempoh sama berbanding tahun sebelumnya yang hanya merekodkan rampasan 12.36 kilogram.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, peningkatan itu turut menunjukkan perbezaan ketara dari segi nilai keseluruhan rampasan iaitu sebanyak RM584,599 bagi tahun ini berbanding tahun 2020 yang hanya mencecah RM479,853.

“Antara rampasan yang berjaya dilakukan adalah 10,841.03 gram syabu yang meningkat berbanding 6,334.05 gram tahun lalu

“Ia diikuti rampasan sebanyak 13,385.06 gram serbuk ketamin bernilai RM63,094.30 bagi tahun ini saja,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, jumlah kes bekalan dadah tahun ini juga meningkat sebanyak 86 kes membabitkan 134 tangkapan berbanding 80 kes dan 119 tangkapan tahun lalu.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, statistik jenayah indeks pula merekodkan pengurangan pada jenayah kekerasan dengan hanya merekodkan 78 kes tahun ini berbanding 92 kes tahun lalu.

“Hanya satu kes bunuh direkodkan tahun ini berbanding tiga kes tahun lalu manakala kes rogol turut berkurang sebanyak empat kes iaitu 12 kes tahun ini dan 16 kes tahun lalu diikuti 17 kes bagi samun berkawan tanpa senjata api dan 19 kes sama bagi tahun lalu.

“Jenayah harta benda pula merekodkan pertambahan sebanyak 22 kes iaitu meningkat kepada 775 kes. Begitu juga dengan kes curi yang mencatatkan sebanyak 372 kes tahun ini berbanding 288 tahun lalu.

“Ia diikuti 268 kes pecah rumah tahun ini berbanding hanya 253 tahun lalu,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, kes seksual turut meningkat kepada 44 kes berbanding 27 kes tahun lalu dan peratusan kes selesai adalah 38 kes berbanding 25 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Tamat