Kota Kinabalu: Seorang wanita warga China mengalami kecederaan parah melecur selepas dapur gas rumahnya di sebuah kondominium mewah di Jalan Kobusak, di sini, meletup hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 25 tahun terbabit dikatakan sedang memasak sebelum tiba-tiba berlaku letupan berkenaan.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jamaluddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah hari.
Katanya, sepasukan 8 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Operasi turut dibantu sepasukan anggota dan pegawai dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa berada dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan melecur tahap dua daripada kepala hingga ke bahagian kaki,” katanya dalam ketika dihubungi, hari ini.
Jamaluddin berkata, mangsa terus diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke zon merah Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan selanjutnya.
Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 12.30 tengah hari dan pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.25 petang,” katanya.
Tamat






