Perjuangkan hak asasi wanita.

Sandakan: Persatuan Wanita Progresif Sabah (WASA) akan sentiasa komited untuk memperjuangkan hak asasi kemanusiaan dalam memperkasa wanita.

Menerusi program yang bakal dijalankan, ia akan membela hak wanita dan kanak-kanak dengan menerapkan pengetahuan mengenai cara perlindungan diri.

Pengerusinya, DP Florence Datuk Paul Baklin, berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan kursus berkenaan hak-hak wanita dan kepentingan melindungi diri dari menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan.

Katanya, untuk tujuan itu, pihaknya juga bercadang untuk mewujudkan skuad waja di bandar, luar bandar dan juga di tempat kerja.

“Kursus ini juga akan melibatkan perkahwinan bawah umur dan lain-lain kes yang membabitkan kebajikan wanita dan kanak-kanak.

“Kita menyasarkan sebanyak 1,000 penyertaan wanita dari lima kawasan di Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi dan Libaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan dengan jawatankuasa WASA di Sandakan, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi, Sante Villiamon, Penasihat Ekonomi, Yap Pien Chie, Penasihat Undang-Undangnya, Roweina Rasid dan yang lain.

Florence berkata, skuad ini akan menerangkan akan hak-hak wanita dan kanak-kanak selain peluang perniagaan yang boleh diceburi wanita supaya dapat memperkasa diri mereka.

“Sebagai permulaan juga, WASA turut merancang untuk mengadakan seminar berkenaan hak-hak wanita yang dijangka diadakan di Beluran dan Telupid,” jelasnya.

WASA ditubuhkan pada 22 Januari tahun lalu sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berasaskan keuntungan dan disertai ahli-ahli yang terdiri dalam kalangan professional, perundangan, usahawan dan bidang yang lain.

Tamat