Pasar Malam Kim Fung dibuka semula Sabtu ini.


Sandakan: Pasar Malam Kim Fung yang ditutup minggu lalu akan dibuka semula untuk peniaga dan orang ramai bermula Sabtu ini.

Bagaimanapun, semua pengunjung dan peniaga dinasihatikan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pasar Malam Kim Fung, David Ong Chih Qun berkata, pembukaan semula itu dibuat selepas ia ditutup sejak Sabtu lalu.

Katanya, penutupan selama seminggu itu bagi membolehkan pihaknya mengatur semula SOP  pasar malam berkenaan ekoran peningkatan kes Covid-19 mendadak di daerah itu.

“Kami mengingatkan semua peniaga dan pengunjung supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KKM.

“Hanya mereka yang sudah lengkap dengan dua dos vaksin atau dos penggalak dibenarkan mengunjungi atau berniaga di sini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi individu yang bergejala seperti demam, batuk, selsema adalah dilarang sama sekali untuk hadir ke pasar malam berkenaan.

“Mereka yang mempunyai gejala ini diminta supaya tidak hadir di lokasi pasar malam dan mereka juga tidak akan dibenarkan masuk oleh petugas, katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan AJK pasar malam itu merayu kepada semua pihak supaya memastikan Pasar Malam Kim Fung sentiasa selamat untuk berniaga dan dikunjungi.