Kemalangan tiga kenderaan. Tiga sekeluarga maut.

Anggota bomba membantu mangsa terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tungku, Kampung Bekapit, di sini.

Lahad Datu: Tiga sekeluarga maut manakala lima selamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tungku, Kampung Bekapit, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, tiga yang maut adalah penunggang dan penumpang motosikal termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun.

Manakala dua lagi mangsa adalah kakak dan abang kanak-kanak terbabit yang berusia 39 dan 45 tahun selepas dipercayai bertembung dengan dua kenderaan pacuan empat roda.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 7.02 malam.

Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu motorsikal Honda Wave dua pacuan empat roda, Mitsubishi Triton dan Isuzu Dmax.

“Terdapat lapan mangsa terlibat dan tiga daripadanya yang menaiki motorsikal disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan manakala lima lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.50 malam.

Tamat