Bangkai ikan disahkan spesis Paus Bryde’s jantan.

Pasukan Jabatan Perikanan melakukan pemeriksaan bangkai ikan paus.

Kota Kinabalu: Jabatan Perikanan Negeri Sabah mengesahkan bangkai ikan yang ditemui di Pulau Mantani, Kota Belud, Selasa lalu, adalah spesis paus Bryde’s jantan.

Pengarahnya, Azhar Kassim berkata, sebaik menerima aduan awam, sepasukan anggota dan pegawai bersama pasukan Hidupan Liar terus dikerah ke lokasi penemuan untuk melakukan siasatan.

Katanya, hasil siasatan awal, ikan paus itu dipercayai mati sejak beberapa hari lalu sebelum dihanyutkan arus sehingga terdampar di pantai berkenaan.

“Bangkai ikan paus berkenaan sudah mulai reput namun pemeriksaan lanjut mendapati organ dalamannya masih dalam keadaan yang baik.

“Punca kematian sukar dikenalpasti disebabkan keadaan bangkai ikan paus yang berada di kategori empat,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sampel kulit ikan berkenaan diambil untuk mengenalpasti spesis dan punca kematian.

Azhar berkata, keadaan ikan juga sudah mula membusuk ekoran terdedah kepada matahari terik selain terdapat haiwan pemangsa di sekeliling kawasan ikan paus terdampar.

“Pihak pengusaha resort memohon kebenaran untuk menanam bangkai ikan paus kerana bau bangkai mengganggu persekitaran pusat peranginan berkenaan.

“Mengenai rangka tulang paus ini, Jabatan Perikanan masih memikirkan tindakan selanjutnya yang perlu diambil.

“Kita mungkin akan menghubungi Muzium Negeri Sabah untuk berbincang mengenai rangka tulang paus ini,” katanya.

Tamat