KTC kukuhkan perniagaan buka gudang hab KTC terbesar di Brunei

Oleh JOHN TAMBANAN

RANAU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) berjaya mengukuhkan kedudukan perniagaannya di pasaran Brunei, kata Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau.Beliau berkata, melalui kerjasama Kerajaan Brunei, syarikat itu berjaya menyediakan gudang hab KTC Brunei yang terbesar di negara itu.
Katanya, Hab KTC Brunei yang baharu kini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran KTC di Brunei.
“Kejayaan ini membuktikan kestabilan dan daya saing KTC di pasaran antarabangsa, menjadikannya salah satu syarikat paling berjaya dalam industri pengedaran dan perdagangan di Brunei,” katanya.
Beliau berkata, demikian pada majlis Jelajah Iftar 2025 bagi kawasan Parlimen Ranau semalam anjuran KTC dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah.
Ia merupakan destinasi ke-11 Jelajah Ifrar 2025 di Parlimen Ranau merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Karanaan, dan Paginatan.
Sempena Jelajah Iftar 2025 di Ranau, KTC dan UPPM telah menganjurkan program Shopping Raya di mana seramai 50 kanak-kanak dari daerah itu dibawa membeli pakaian raya di pekan Ranau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Setiap kanak-kanak menerima RM200 bagi membeli dan kasut raya. Diikuti majlis sumbangan makanan kepada Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad, Ranau.
Beliau diiringi Pergerakan Wanita PGRS Paginatan diketuai Datuk Amisah Yassin, kelihatan sebak ketika menyampaikan sumbangan berkenaan.
Pada sebelah petang Jelajah Iftar 2025 KTC dan UPPM Sabah menganjurkan majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh kira-kira 600, di mana 30 penerima dari golongan asnaf, ibu tunggal, dan warga emas menerima sumbangan duit raya daripada Sawit Kinabalu.
Selain Dexter dan Amisah, majlis itu turut dihadiri Menteri Kewangan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, ADUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, Pengarah UPPM Sabah Datuk Awang Kadin, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam, pemimpin-pemimpin tempatan, wakil KTC dan Pegawai UPPM.

KENANGAN …. Daxter bersama Amisah serta Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Paginatan di majlis sumbangan makanan kepada Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad, Ranau.