Dua pemandu lori maut dirempuh ketika tukar tayar

Oleh FARDY BUNGGA


PAPAR: Dua pemandu lori maut akibat dirempuh kenderaan ketika sedang menukar tayar pancit dalam kejadian di Kilometer 9, Lebuhraya Pan Borneo, dekat Nagapas, di sini, petang Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kedua-dua mangsa maut membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun dan 62 tahun.
Kedua-dua mangsa dirempuh kereta Proton Saga dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, berdasarkan siasatan awal, pemandu lori berusia 62 tahun berhenti di bahu kiri jalan selepas kenderaannya mengalami masalah tayar.
Katanya, ketika sedang menukar tayar, mangsa cuba dibantu oleh rakannya yang juga pemandu lori.
“Tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun yang datang dari arah Kota Kinabalu menuju ke arah Kimanis hilang kawalan dan terbabas.
“Kenderaan malang berkenaan terus merempuh kedua-dua mangsa yang sedang menukar tayar sebelum terbalik di sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Menurutnya, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Papar.
Manakala, pemandu dan penumpang Proton Saga dibawa ke Hospital Papar untuk menerima rawatan kerana turut mengalami cedera di bahagian kaki dan tangan.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat. 
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

TERBALIK …. Kereta Proton Saga dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik selepas merempuh kedua-dua mangsa.
MAUT …. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.