PARIS: Wales menewaskan Kazakhstan 3-1 pada Sabtu untuk memulakan buruan kelayakan ke Piala Dunia 2026 dengan satu kemenangan, sementara Erling Haaland adalah antara penjaring gol ketika Norway membelasah Moldova 5-0.
Wales memburu penampilan kedua berturut-turut di Piala Dunia selepas 2022 di Qatar dan skuad bimbingan Craig Bellamy itu menangani cabaran pasukan Kazakhstan di Cardiff.
Wales membuka jaringan dalam aksi Kumpulan J Zon Eropah itu seawal minit kesembilan menerusi satu rembatan Daniel James.
Kazakhstan, yang berada pada ranking ke-110 dunia, mengikat kedudukan dari satu tendangan penalti pada minit ke-30 apabila bola terkena pemain tuan rumah, Connor Roberts, membolehkan Askhat Tagybergen menyempurnakan penalti.
Wales meneruskan rentak cemerlang dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA pada akhir tahun lepas apabila menamatkan cabaran lawan dalam separuh masa kedua.
Kapten pasukan, Ben Davies meletakkan Wales kembali di hadapan tidak lama selepas rehat sebelum Rabbi Matondo masuk dari bangku simpanan untuk melengkapkan jaringan pada minit akhir.
“Kami bercakap sepanjang minggu tentang memulakan kempen dengan baik dan itulah apa yang kami lakukan malam ini,” kata James.
“Ia sangat penting untuk meraih kemenangan malam ini (Sabtu) dan berusaha untuk Selasa depan,” tambahnya ketika merujuk lawan selepas ini menentang Macedonia Utara.
Aleksandar Trajkovski dan Visar Musliu menjaringkan gol dalam separuh masa pertama sebelum Bojan Miovski mengesahkan kemenangan 3-0 Macedonia Utara di Liechtenstein.
Pasukan pilihan kumpulan, Belgium, hanya akan memulakan kempen mereka pada bulan Jun depan.
Norway terdesak untuk mengambil sepenuh peluang dari barisan pemain berbakat apabila memburu kelayakan ke kejohanan besar pertama sejak Euro 2000 dan juga penampilan pertama di Piala Dunia sejak 1998.
Mereka tidak berdepan banyak masalah di Chisinau, dengan pemain pertahanan, Julian Ryerson meletakkan Norway di hadapan seawal permainan dalam Kumpulan I.
Haaland terlepas peluang awal sebelum menambah jaringan pada pertengahan separuh masa pertama apabila menyempurnakan hantaran Andreas Schjelderup.
Haaland menjaringkan 39 gol dalam 40 penampilan bersama Norway, termasuk lapan gol dari tujuh perlawanan sejak memulakan musim ini.
Norway, diketuai Martin Odegaard, menjaringkan gol ketiga menerusi Thelo Aasgaard sebelum Alexander Sorloth menjaringkan gol keempat sebelum rehat.
Aron Donnum, pemain gantian, melengkapkan jaringan pada pertengahan separuh masa kedua.
Ujian terbesar buat Norway dengan hanya juara kumpulan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 dan akan dilengkapkan dengan pasukan yang kalah dari perlawanan suku akhir Liga Negara-Negara UEFA di antara Itali dan Jerman.
Dalam perlawanan lain, Israel menewaskan Estonia 2-1 di Hungary sementara Republik Czech menewaskan Faroe Islands 2-1 dalam aksi Kumpulan L dan Montenegro bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Gibraltar 3-1.









