PENAMPANG: Jaesman Gipin dilantik sebagai Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit berkuat kuasa serta merta.
Watikah pelantikan itu disampaikan Naib Presiden KDM, Henry Saimpon di Ibu Pejabat KDM di sini pada Khamis.
Turut menerima watikah pelantikan ialah Ketua Bahagian KDM Penampang Justin Silut Juani.
Justin menerima watikah pelantikan itu daripada Setiausaha Agung KDM, Willie Jude.

Sementara itu, Jaesman, 44, berkata tanggungjawab yang diberikan itu merupakan amanah besar yang harus dipikul dengan kesungguhan.
“Saya bertekad bekerja keras memperkuatkan KDM di DUN Pantai Dalit dan memastikan tugas-tugas yang berkaitan dengan pengurusan dan perkembangan parti di kawasan tersebut dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Jaesman juga berusaha untuk menggerakkan pelbagai aktiviti politik dan sosial, sekali gus memperkukuhkan kedudukan parti di peringkat kawasan.
“Saya juga beriltizam untuk memainkan peranan penting dalam merancang dan melaksanakan strategi pilihan raya di kawasan Pantai Dalit,” katanya.
Katanya, ini termasuk menyusun pasukan, menjalankan kempen, dan memastikan parti bersedia untuk menghadapi pilihan raya dengan kekuatan yang optimum untuk berjuang dalam pilihn raya negeri (PRN) akan datang.
KDM pimpinan Priscella Peter dijangka bertanding lebih 45 kerusi pada PRN yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.