Nenek jaga lima cucu dapat perhatian Suhaimi

SANDAKAN: Demi kasih sayang, seorang nenek tekad untuk menjaga lima cucunya yang kehilangan tempat bergantung selepas kematian ibu mereka, enam tahun lepas.

Menurut Anilhawa Aldan ,60, walaupun umurnya semakin meningkat tetapi tetap cekal menjaga lima cucunya ini yang berusia 6 hingga 17 tahun dengan rasa tanggungjawab selepas anak perempuannya meninggal dunia dan menantunya, tidak kembali selepas keluar mencari pekerjaan di Kota Kinabalu.

Anilhawa yang telah hilangan suaminya 18 tahun lalu dan lima cucunya ini menetap di rumah yang daif dan hanya bergantung dengan sumber pendapatan setiap bulan dari bantuan Jabatan Kebajikan.

CERITA … Anilhawa (kanan) bercerita sesuatu kepada Suhaimi.

Kisah kehidupan nenek dan lima cucunya ini, mendapat perhatian Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Haji Nasir.

Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah telah berkunjung ke rumah nenek itu di Kampung Batu Putih Batu 7 Sandakan bagi melihat sendiri kehidupan keluarga itu.

Semasa kunjungan itu, Suhaimi telah menyampaikan sumbangan raya kepada keluarga ini.

Beliau menasihati anak sulung dari lima beradik yang kini bakal menduduki perperiksaan SPM agar belajar bersungguh-sungguh dan menjadi seorang yang berjaya supaya dapat mengubah corak kehidupan keluarga pada masa depan.

Suhaimi turut mengambil perhatian keadaan rumah keluarga berkenaan dan pihaknya melalui Pusat Khidmat Rakyat P.184 Libaran akan berusaha memperbaiki rumah tersebut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran Zaini Tiksun, Pegawai Khas Ahli Parlimen Libaran Asli Amat dan Pegawai Pusat Khidmat Rakyat P.184 Libaran.