Pemandu maut ketika cuba elak kenderaan memotong

  • Oleh FARDY BUNGGA

SANDAKAN: Seorang pemandu Perodua Kancil maut selepas kenderaannya merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang berhenti di bahu jalan dalam kejadian di Batu 33, Jalan Beluran-Sandakan, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, kemalangan dikatakan berpunca daripada tindakan mangsa mengelak sebuah kereta di laluan bertentangan yang cuba memotong kenderaan di hadapannya.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, mangsa lelaki warga asing yang berusia 38 tahun memandu seorang diri ketika kejadian.

MAUT …. Mangsa tercampak keluar dari kereta yang remuk akibat kejadian berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta dari arah bertentangan dikatakan cuba memotong kenderaan di hadapannya dan masuk di lorong mangsa.

“Oleh kerana jarak terlalu dekat, mangsa terpaksa mengelak ke kiri jalan sebelum merempuh kereta Mitsubishi ASX yang berhenti di tepi jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Duchess Of Kent untuk proses bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.