Permintaan arang kayu melonjak tiga kali ganda menjelang Aidilfitri

BACHOK: Permintaan terhadap arang kayu meningkat tiga kali ganda menjelang Hari Raya Aidilfitri, didorong oleh keperluan tinggi daripada pembuat sate.

Pengusaha arang Pazuriatiayu Paudin, 49, berkata beliau dan suaminya Mohd Nazri Sohor, 51, tidak menang tangan memenuhi tempahan lebih 3,000 guni arang hancur sejak awal Ramadan bagi kegunaan peniaga sate di sekitar Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

PENGUSAHA …. Pengusaha arang, Nazri Mohd Sohor, 51, (kiri) bersama isterinya, Pazuriatiayu Paudin, 49, (kanan) selesai menyusun kayu ke dalam gok, ketuhar khas yang digunakan untuk membakar kayu sehingga menjadi arang, ketika ditemui Bernama di Kampung Bukit Lipah, baru-baru ini.

“Kami membuat persiapan awal dengan mendapatkan bekalan kayu jenis rambutan, getah dan dokong dari pelbagai tempat, sama ada melalui pembelian atau pemberian rakan-rakan.

GOK …. Sebahagian ‘gok’, iaitu ketuhar khas untuk membakar kayu sehingga menjadi arang, yang diusahakan oleh pasangan suami isteri Nazri Mohd Sohor, 51, dan Pazuriatiayu Paudin, 49, ketika ditemui Bernama di Kampung Bukit Lipah, baru-baru ini.

“Purata harga kayu yang dibeli ialah RM600 selori. Sejak awal Ramadan, arang kayu juga mendapat permintaan tinggi daripada pembuat kuih-muih serta peniaga ayam bakar, termasuk ayam madu dan ayam golek,” katanya kepada Bernama di Kampung Bukit Lipah di sini baru-baru ini.

Pazuriatiayu berkata arang kayu turut mendapat permintaan tinggi daripada peniaga ikan bakar dan ayam percik di Kuala Lumpur, yang datang sendiri untuk mendapatkan bekalan.

Beliau berkata arang kayu dijual pada harga RM40 bagi setiap guni, manakala dijual RM3 sebungkus dalam bungkusan plastik.

TEKUN …. Pengusaha arang, Pazuriatiayu Paudin, 49, tekun mengasingkan arang yang telah dibakar sebelum dibungkus ketika ditemui Bernama di Kampung Bukit Lipah, baru-baru ini.

Perusahaan arang ini adalah legasi lebih 40 tahun yang diwarisi daripada bapanya Allahyarham Paudin Ismail dan beliau sendiri berkecimpung dalam bidang ini sejak 15 tahun lepas.

“Terdapat 12 gok (tempat pembakaran kayu) di sini, namun hanya lapan yang boleh digunakan kerana selebihnya telah rosak dan perlu dibina semula bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Proses pembakaran kayu mengambil masa sekitar dua minggu untuk gok kecil bersaiz 3.05 meter (m) dan tiga minggu bagi gok besar bersaiz 3.96m sebelum menjadi arang. Sepanjang tempoh itu, api perlu dikawal rapi untuk mengelakkan gok merekah atau api merebak ke luar,” katanya.- BERNAMA

SIAP … Arang yang telah siap dibakar menggunakan gok, ketuhar khas untuk menukarkan kayu menjadi arang, hasil usaha pasangan suami isteri Nazri Mohd Sohor, 51, dan Pazuriatiayu Paudin, 49, ketika ditemui Bernama di Kampung Bukit Lipah, baru-baru ini.