Subsidi diesel, RON95 bukan ‘gula-gula’ pilihan raya – Victor

Oleh JOHN TAMBANAN


TAMBUNAN: Peningkatan had kelayakan subsidi petrol RON95 dan diesel menerusi Program BUDI MADANI bukan ‘gula-gula pilihan raya’, sebaliknya langkah kerajaan membantu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.
Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Dato’ Victor P Paut, berkata rakyat wajar melihat pengumuman itu secara positif kerana manfaatnya dapat dirasai secara langsung, khususnya pengguna kenderaan yang bergantung kepada petrol dan diesel untuk urusan harian.
Katanya, peningkatan had kelayakan itu amat diperlukan mengambil kira ketidaktentuan harga minyak dunia susulan konflik dan ketegangan di Asia Barat.
“Bagi saya, kenaikan kuota petrol dan terutama diesel amat membantu, khususnya rakyat Sabah yang sebahagian besarnya menggunakan kenderaan pacuan empat roda berikutan keadaan geografi yang mencabar di negeri ini.
“Pengumuman Perdana Menteri jelas bukan ‘gula-gula pilihan raya’, sebaliknya salah satu inisiatif kerajaan untuk meringankan beban rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia Peringkat Mukim Nambayan, di sini, semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pemulihan had kelayakan asas BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.
Selain itu, kelayakan BUDI Diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak turut ditingkatkan daripada 300 kepada 400 liter sebulan, berkuat kuasa 1 September.
Victor berkata, pengumuman itu tidak wajar ditafsirkan semata-mata dari sudut politik, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan manfaat sebenar yang diterima rakyat.
Katanya, bantuan kerajaan perlu dilihat berdasarkan keperluan semasa dan tidak dikaitkan secara automatik dengan kepentingan politik hanya kerana pilihan raya semakin hampir.
“Memang rakyat memerlukan bantuan ini. Ia realiti kehidupan dan jangan kita politikkan apa saja bantuan daripada kerajaan kepada rakyat hanya kerana sudah dekat pilihan raya, sedangkan PRU16 pun lama lagi,” katanya.
Victor, yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, yakin subsidi bahan api itu akan diteruskan sekiranya kerajaan mendapati ia masih diperlukan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Saya yakin bantuan subsidi bahan api ini memang diteruskan,” katanya ketika ditanya sama ada bantuan dan subsidi berkenaan akan kekal sekiranya kerajaan sedia ada terus mentadbir negara selepas PRU16.
Beliau berkata, perkara lebih penting ialah memastikan dasar subsidi dilaksanakan secara berkesan supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Terdahulu, Victor meluluskan peruntukan bagi pembelian 200 kerusi plastik, dua unit penghawa dingin berkapasiti dua kuasa kuda (hp) dan enam set lampu solar untuk Perpustakaan Desa serta Dewan Serbaguna Kampung Nambayan.

Victor ketika ditemui media selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia Peringkat Mukim Nambayan, 2 September.