KOTA KINABALU: Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) menggesa supaya pertikaian berhubung pelaksanaan sambutan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah 2025 dihentikan serta merta.
Presiden SAMORA, Dato’ Jelani Hamdan berkata, ia bagi menamatkan sebarang kemungkinan tercalarnya imej institusi TYT di negeri ini dan mengutuk sebarang cubaan berbuat demikian.
Sehubungan itu, saya dan seluruh kepimpinan SAMORA ingin menjelaskan bahawa pertikaian mahupun kekeliruan yang berlaku hanyalah disebabkan kesilapan kenyataan atau penggunaan perkataan.
Istilah mahupun frasa yang kurang tepat atau tidak lengkap oleh pihak yang melaporkan kenyataan yang dibuat oleh yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskendalikan sambutan Hari Jadi Rasmi TYT ini.
Malahan, selepas meneliti perincian pelaksanaannya, kami dari SAMORA menegaskan bahawa pelaksanaan sambutan hari jadi rasmi TYT bagi tahun 2025 ini tidak melanggar perlembagaan negeri, atau mana-mana undang-undang dan peraturan di negara ini,” katanya.
Jelani berkata, SAMORA juga mendapati Kerajaan Negeri Sabah, di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, tidak melakukan sebarang kesalahan , khilaf atau sebarang pembaziran berhubung pelaksanaan sambutan hari jadi TYT ini.
Sebaliknya, katanya usaha telah dibuat bagi memastikan penjimatan kos perbelanjaan bagi pelaksanaan hari jadi tersebut secara telus dan berhati-hati.
“Justeru, pelaksanaan sambutan hari jadi TYT bagi tahun 2025 ini selari dengan keperluan yang dinyatakan di dalam perlembagaan negeri Sabah,” katanya.
Semantara itu, berdasarkan penelitian dan perbandingan yang dibuat oleh Setiausaha Agung SAMORA yang juga seorang ahli akademik, Prof Madya Dr Romzi Ationg berpendapat sambutan hari jadi TYT yang diadakan pada tahun-tahun sebelumnya jauh lebih banyak aktiviti dan kosnya lebih tinggi berbanding tahun ini.
Dr Romzi memberi contoh, pada tahun 2024, jumlah program atau aktiviti yang disenaraikan adalah sejumlah 12 program atau aktiviti.
Katanya, bagi mengambilkira pelbagai faktor, seperti penjimatan dan lain-lain hal, maka jumlah program atau aktiviti dikurangkan menjadi hanya sejumlah tujuh program atau aktiviti sahaja.
Katanya, program atau aktiviti yang memerlukan kos perbelanjaan lebih besar seperti ‘big bike’ dan ‘pertandingan golf’ telah ditiadakan.
Namun, tambahnya program atau aktiviti yang lebih bermanfaat serta bersifat perlu untuk rakyat di negeri ini seperti ‘meraikan anak yatim’, ‘majlis keagamaan’ dan ‘perbarisan’ dikekalkan.
“Ini bermakna, penjimatan kos perbelanjaan keseluruhan sambutan hari jadi TYT pada tahun ini dapat diminimumkan secara signifikan,” katanya.
“Maka dengan itu, kami di pihak SAMORA menggesa supaya kritikan terhadap sambutan hari jadi TYT Sabah ini dihentikan dengan harapan kenyataan ini dapat merungkai kekeliruan yang timbul,” katanya.
SAMORA juga menyokong penuh pelantikan Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang ke 11 baru-baru ini .
Dengan pengalaman berkhidmat sebagai mantan Ketua Menteri Sabah dan seorang ahli koporat, Tuan Yang Terutama Tun amatlah layak dan sesuai sebagai Yang Dipertuan Negeri Sabah.
SAMORA berdiri teguh dan menyokong penuh TYT Tun dan berharap tiada lagi polemik yang timbul samaada soal perlantikan TYT Tun atau isu sambutan Hari Jadi TYT Tun. – JT









