MADRID: Real Madrid mara ke final Copa del Rey dengan keputusan seri 4-4 pada masa tambahan yang mendebarkan menentang Real Sociedad pada Selasa, memastikan kemenangan separuh akhir menerusi agregat 5-4.
Antonio Rudiger menamatkan perlawanan dengan tandukan pada minit ke-115, dan Madrid akan menentang sama ada Barcelona atau Atletico Madrid pada perlawanan akhir.
Real Sociedad, ketinggalan 1-0 dari perlawanan pertama, mendahului menerusi Ander Barrenetxea, tetapi jaringan Endrick menyamakan kedudukan buat kelab pemenang 20 kali itu.
Gol sendiri David Alaba dan sepakan melantun masuk Mikel Oyarzabal membantu La Real mendahului juara Sepanyol itu tetapi Madrid bangkit dengan jaringan Jude Bellingham dan Aurelien Tchouameni.
Oyarzabal meraih gol keduanya pada masa kecederaan untuk memaksa masa tambahan tetapi pasukannya tidak dapat menahan Madrid sehingga penentuan penalti apabila tandukan Rudiger menjadi penentu.
“Saya sangat gembira kerana ia perlawanan yang sangat sukar dengan banyak kebangkitan semula dan akhirnya gol saya,” kata Rudiger kepada Real Madrid TV.
“Bagi saya gol itu mudah, saya membuat pergerakan yang baik, pukulan sudut sangat bagus dan kerana itu kami layak ke final.
“Ia musim yang sukar tetapi kami kini mara ke satu lagi perlawanan akhir dan kami akan memenanginya.”
Ancelotti memasukkan Vinicius Junior dan Rodrygo Goes kembali ke dalam kesebelasan utamanya, meninggalkan Kylian Mbappe di bangku simpanan untuk berehat, dengan Endrick menggantikannya dalambarisan serangan pemain-pemain Brazil.
Penyerang berusia 18 tahun itu yang menjaringkan satu-satunya gol pada perlawanan pertama, aktif dalam fasa pembukaan, cubaannya tersasar tipis dari tiang Alex Remiro.
Bagaimanapun, Real Sociedad yang mendahului.
Barrenetxea memecah masuk di belakang Lucas Vazquez untuk mengutip umpanan Pablo Marin dan melakukan penyudahan rendah untuk meletakkan pasukan Basque pada kedudukan yang sama.
Real Madrid tidak lama kemudian menemui gol penyamaan mereka. Vinicius memainkan bola di sayap kiri, mengumpan untuk dijaringkan oleh Endrick.
Pemain muda itu, penjaring gol terbanyak dalam Copa del Rey, menghasilkan penyudahan yang cantik ke atas Romero untuk gol kelimanya dalam pertandingan itu.
Ancelotti memasukkan Mbappe untuk Endrick, mencari gol untuk mematikan persaingan. Bagaimanapun, pasukan pelawat yang mencipta peluang lebih baik.
Penjaga gol Madrid, Andriy Lunin melakukan penyelamatan hebat untuk menafikan Martin Zubimendi dan Oyarzabal meloloskan bola muntah itu.
Real Sociedad mendahului pada malam itu apabila Alaba menepis hantaran lintang Marin melepasi kaki Lunin dan ke gol sendiri selepas 72 minit.
Pemain pertahanan Austria itu, yang kembali daripada kecederaan jangka panjang sejak Januari, turut terlibat dalam gol ketiga Real Sociedad, menepis rembatan Oyarzabal melepasi Lunin.
Ia membangunkan Madrid, dengan Vinicius menerpa ke hadapan dan melorong untuk dijaringkan oleh Bellingham pada minit ke-82.
Empat minit kemudian Los Blancos menyamakan kedudukan apabila tandukan Tchouameni dimasukkan Remiro ke gol sendiri.
Real Sociedad berjaya memaksa masa tambahan, apabila Oyarzabal menanduk masuk sepakan percuma Sergio Gomez pada minit ke-93.
Remiro menyelamat cubaan Bellingham sebelum tamat 90 minit, rentak lebih perlahan ketika permainan dimulakan semula.
Pemain Real Sociedad, Jon Olagasti dilayangkan kad kuning kerana mengasari Vinicius ketika dia hampir menembusi di sebelah kiri.
“Saya fikir ia sepatutnya kad merah,” kata Ancelotti.
Dengan baki lima minit, Rudiger menghantar Madrid ke final dengan tandukan halus dari sepakan sudut Arda Guler melepasi Remiro yang sudah tidak berdaya.
“Ia permainan yang menghiburkan dengan banyak gol, banyak kesilapan dan banyak perkara yang baik,” tambah Ancelotti.
“Objektif sudah selesai dan kami ke final sekali lagi.”







