Mangsa terakhir kes lemas ditemukan

SANDAKAN: Mangsa terakhir yang hilang selepas terjun ke laut, Ahad lalu, berjaya ditemukan nelayan kira-kira tiga kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu ditemukan pada jam 5.44 petang Selasa di kawasan perairan Pulau Berhala.
Katanya, pasukan bomba bersama agensi terlibat memulakan operasi pencarian yang memasuki hari ketiga pada jam 6.41 pagi Selasa.
“Operasi pencarian dijalankan meliputi radius pencarian sejauh empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa ditemukan oleh nelayan dan dibawa ke jeti marin untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Keluarga mangsa mengesahkan identiti kanak-kanak perempuan terbabit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, pasukan operasi melakukan pemeriksaan akhir sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 malam.
Terdahulu, dalam kejadian jam 7 pagi Ahad lalu, tiga individu termasuk dua kanak-kanak hilang selepas terjun ke laut berhampiran Dewan Masyarakat Bandar, Jalan Costel, di sini.
Susulan kejadian itu, dua mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan lelaki dewasa, 22, yang turut hanyut di bawa arus deras ditemukan lemas.
Difahamkan, kejadian berpunca daripada tindakan seorang wanita warga asing yang terjun ke laut dengan membawa bersama dua anaknya.
Seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga bapa saudara kanak-kanak terbabit cuba membantu namun hilang selepas dipercayai dibawa arus deras, manakala, wanita terbabit berjaya diselamatkan orang awam. 

LEMAS … Mangsa lemas ditemukan nelayan kira-kira tiga kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.