KINABATANGAN: Seramai 34 penduduk terjejas banjir selepas beberapa buah rumah di Kampung Pengkalan Bukit Garam digenangi air.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan N.Azlan Shah Jamalludin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian jam 9.16 pagi dan menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi sejauh 11 kilometer dari jarak balai.
“Semasa ketibaan pihak bomba di lokasi, sembilan keluarga terjejas bencana banjir sudah berpindah sendiri ke Dewan Pangkalan Bukit Garam.
“34 mangsa keseluruhan termasuk 15 dewasa, 15 kanak-kanak serta empat bayi dan tiada pemindahan mangsa dijalankan oleh pasukan bomba,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan paras air dilaporkan masih dalam paras bahaya, pasukan bomba memberikan khidmat nasihat kepada orang awam untuk berpindah ke tempat selamat sekiranya perlu.
“Kita akan menjalankan pemantauan berterusan di kawasan terjejas dan selepas memastikan tiada bahaya lain yang wujud operasi ditamatkan jam 11.55 pagi,” katanya.










