Oleh JOHN TAMBANAN
KIULU: Kelab Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu ditubuhkan di Kiulu sebagai platform bagi pelajar di sini menganjurkan aktiviti kepimpinan dan kemasyarakatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, ketika mencadangkan perkara itu berkata, kewujudan kelab seumpama itu bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara pelajar, malah boleh dijadikan landasan untuk interaksi lebih erat dengan kepimpinan di Kiulu.
“Saya percaya pelajar-pelajar IPT dari Kiulu mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti.
“Dengan adanya kelab ini, mereka boleh menjalankan pelbagai program bermakna yang bukan sahaja memanfaatkan diri mereka tetapi juga masyarakat,” katanya semasa sesi pertemuan dengan pelajar-pelajar IPT baru-baru ini.
Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut memberi komitmen untuk menyokong penganjuran aktiviti kelab tersebut dan bersedia menyediakan bantuan yang diperlukan.
Cadangan penubuhan kelab ini disambut baik oleh kumpulan pelajar IPT yang diketuai oleh Moureen, seorang pelajar tahun akhir di salah sebuah IPT di sini.
Dalam pada itu, Christella turut menyatakan komitmen mereka untuk membentuk jawatankuasa protem sebagai langkah awal ke arah penubuhan kelab tersebut.
“Saya percaya dengan adanya kelab seperti yang dicadangkan oleh Datuk Joniston, kami dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyumbang pembangunan Kiulu,” katanya.
Sebagai tanda sokongan kepada golongan belia, Joniston sebelum ini telah mengumumkan dana sebanyak RM50,000 awal tahun ini bagi tujuan penganjuran aktiviti belia di kawasan DUN Kiulu.
Sementara itu, dalam dua program belia anjuran gereja Seventh Day Adventist hujung minggu lalu, Joniston menekankan kepentingan kepimpinan dan disiplin dalam kalangan belia.
Program tersebut memberi peluang kepadanya untuk berinteraksi dengan golongan belia dari generasi Y serta berkongsi pandangannya mengenai pembangunan kepimpinan.
“Bagi membentuk pemimpin yang baik, disiplin dan nilai kepimpinan harus dipupuk sejak awal.
“Golongan belia perlu sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran diri dan menjadi contoh yang baik dalam masyarakat,” katanya.








