Hari Raya DUN Kundasang dimeriahkan kehadiran Joachim dan isteri

RANAU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam bersama isteri, Datin Seri Linda Ewit menghadiri dan merasmikan sambutan Hari Raya Riang Ria peringkat Kampung Lobou Baru yang berlangsung di balai raya kampung tersebut, pada Jumaat.
Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) tidak putus-putus menerima jemputan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang sejak hari pertama Syawal sehingga ke hari ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjemput saya untuk hadir dan meraikan hari raya di sini,” katanya.
Katanya, sambutan hari raya pada tahun ini begitu meriah dan diraikan oleh masyarakat dari pelbagai lapisan.
“Di negeri Sabah ini, kita meraikan pelbagai perayaan. Hari ini kita menyambut Hari Raya Aidilfitri, begitu juga dengan sambutan perayaan lain seperti Krismas dan Pesta Kaamatan,” katanya.
“Itulah keunikan negeri Sabah,” tambahnya.
Turut hadir mengiringi beliau ialah Setiausaha Sulit, Japli Sami; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Dounis Sani bersama kakitangan UPPM DUN Kundasang serta pegawai-pegawai kepada Joachim.
Selepas itu, Joachim turut menziarahi seorang warga emas yang uzur dan terlantar di Kg Naradau sebelum meneruskan sambutan hari raya di Kg Semuruh, Kg Pinausuk dan Kg Mesilou.- JT

SAMPAIKAN SUMBANGAN …. Joachim (tengah) menyampaikan sumbangan buah tomato kepada penduduk Kg Lobou Baru.